Beliau memberitahu, tindakan itu dibuat kerana kekangan masa ekoran banyak perkara yang perlu dilakukannya memandangkan beliau juga adalah Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Seperti yang pernah dimaklumkan, proses peralihan kuasa akan dilakukan dengan cara yang baik menerusi EGM yang akan berlangsung 3 Julai ini.

“Saya fikir sudah tiba masanya saya melepaskan jawatan Presiden FAS kepada RMS (Raja Muda Selangor) memandangkan saya yakin baginda adalah calon paling layak menerajui FAS.

“Saya sendiri memiliki banyak komitmen termasuk di dalam sukan hoki, saya juga sudah maklumkan kepada Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim untuk buat urusan rasmi dan perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Tengku Amir,” katanya selepas Mesyuarat Exco FAS di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Subahan sudah bersedia untuk meninggalkan badan induk bola sepak negeri itu ekoran kekangan masa selain masalah kewangan untuk berdepan persaingan liga musim ini selepas dilantik selaku Presiden FAS bagi penggal 2017-2021 pada Februari tahun lalu.

Subahan juga enggan mengulas mengenai hala tuju baharu pasukan Selangor seandainya Raja Muda Selangor menjadi Presiden FAS yang baharu.

“Saya fikir RMS akan terima, dan kami berharap baginda akan terima kerana kami yakin Tengku Amir mampu menjadikan Selangor sebuah pasukan yang lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menafikan FAS berdepan masalah tunggakan gaji pemain meskipun pihak persatuan berdepan masalah kewangan.

“Isu gaji tidak pernah timbul, gaji pemain cuma lewat tiga minggu. Ada persatuan yang tak bayar gaji tiga bulan.

“Hari ini atau esok, saya akan lunaskan bonus Piala FA dan saya akan tinggalkan persatuan tanpa sebarang hutang,” katanya.