Bekas pemain Manchester United itu sebaliknya mahu Faiz membuktikan dia sememangnya layak untuk berada dalam senarai utama pasukan menerusi ke­sungguhan dalam sesi latihan dan perlawanan ujian, sama seperti pemain lain.

“Semua pemain dalam pasukan termasuk pemain import baharu perlu membuktikan kemampuan masing-masing sama ada semasa berlatih atau perlawanan persahabatan kerana kita hanya mahu pemain yang cergas dan menonjol untuk beraksi,” katanya.

Justeru, Westwood berkata, perlawanan persahabatan ter­akhir malam esok menentang pasukan dari Kemboja, Nagaworld FC akan menjadi medan terbaik untuk menguji barisan pemainnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum perlawanan menentang bekas juara Liga Kemboja yang dijadual bermula pukul 9 malam di Stadium Bandaraya.

Yang turut hadir, Pengerusi Nagaworld, Yeo Wee Han dan ketua jurulatihnya Meas Channa.

Westwood menegaskan, setakat ini mereka telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan dalam tempoh enam hari namun beliau tidak risau dengan jadual padat berkenaan memandangkan kesemua pemain tidak beraksi 90 minit kerana sistem gantian pemain yang diamalkan.

Sementara itu, Channa berkata pasukan bimbingannya teruja untuk menentang Pulau Pinang pada malam esok lebih-lebih lagi ketika ini pasukan berkenaan sedang dikenali di seluruh dunia berikutan kejayaan Faiz.

“Kami memilih untuk mengadakan latihan pra musim di negara ini memandangkan kualiti bola sepak yang lebih baik berbanding di Kemboja.

“Sebelum ini kami telah menewaskan Negeri Sembilan 1-0 dan seri 1-1 menentang UiTM. Pada malam esok, saya berharap satu lagi permainan menarik dapat disajikan kepada penyokong,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pada masa hadapan pasukannya akan beraksi dalam saingan Piala FA di negara ini memandangkan sebelum ini ada pasukan lain dari negaranya pernah menyertai pertandingan berkenaan.