Pahang, yang merupakan pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan itu, akan bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir sama ada di Stadium Temerloh atau Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Jawatankuasa Pertan­dingan PBMM yang akan bermesyua­rat esok juga akan menetapkan tarikh perlawanan akhir antara 19 atau 21 Oktober, selepas meminda tarikh asal daripada 20 Oktober.

“Faktor utama memilih tuan rumah ialah kemampuan negeri itu menarik ramai penonton ke venue supaya kemeriahan suasana perlawanan akhir PERR musim 2018 lebih terasa.

“Musim ini kita bertuah kerana lokasi antara jiran Pantai Timur ini agak dekat buat penyokong-penyokong kedua-dua pasukan.

“Sasaran kami ialah seperti final 2015 apabila 25,000 orang membanjiri Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar walaupun Negeri Sembilan yang muncul juara selepas menewaskan tuan rumah Perlis 2-1,” kata pengerusi jawatankuasa pertandingan yang juga Timbalan Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed.

Stadium Temerloh yang mampu memuatkan 10,000 penonton, pernah menjadi tuan rumah perlawanan akhir PERR 2011 yang dimenangi Pahang setelah menewaskan Melaka 3-1.

Kejayaan Pahang itu diulangi skuad bim­bingan Zulhamizan Zakaria di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 2016 dengan menum­paskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 6-2.

“Saya masih ingat ketika final Piala Emas Raja-raja 2011, memang penonton penuh sesak di Stadium Temerloh,” kata jurulatih Pahang, Hamzah Mat Yunus.

Rekod kejayaan 2011 dan 2016 membuktikan kelebihan gelanggang sendiri berjaya dimanfaatkan Pahang walaupun kehadiran di Stadium Darul Makmur hanya tercatat sekitar 3,000 orang.

Cuaca hujan ketika pertemuan Pahang-PDRM turut mempengaruhi angka keha­diran itu sedangkan stadium berkenaan mampu memuatkan 40,000 penonton.

Perlawanan akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu tahun lalu pula hanya disaksikan 2,000 penonton apabila Pulau Pinang menundukkan Kelantan 2-1 dalam masa tambahan.

Terengganu juga pasti mahukan kelebihan gelanggang sendiri dan ‘pemain ke-12’ mereka di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang berkapasiti 15,000 orang bagi mengakhiri penantian untuk memenangi PERR selama hampir dua dekad.