PSG turut menerbangkan teman wanita Matthijs de Ligt, Annekee Molenaar, dan ibunya, Christiane ke Paris sewaktu rundingan pemain itu sedang berlangsung dengan ejen, Mino Raiola, minggu ini. - Instagram annekeemolenaar

De Ligt menjadi rebutan pada jendela perpindahan musim panas ini, dengan beberapa kelab utama Eropah berebut bagi mendapatkan tandatangannya.

Barca sebelum ini dikatakan menjadi destinasi pilihan pemain berusia 19 tahun itu, setelah de Ligt dikatakan memberi persetujuan secara lisan, April lalu, tetapi PSG berusaha untuk memintas jalan kelab gergasi Sepanyol tersebut.

Menurut akhbar Belanda, De Telegraaf, juara Liga 1 itu yakin untuk mendapatkan pemain tersebut dan bersedia menawarkan de Ligt dengan tawaran gaji yang lumayan.

Ejen de Ligt, Mino Raiola telah bertemu dengan pengarah sukan PSG, Antero Henrique di Paris, minggu ini, sementara kelab turut menerbangkan teman wanita de Ligt, Annekee Molenaar, dan ibunya, Christiane ke ibu negara Perancis itu.

Pasangan itu telah di bawa bersiar-siar di sekitar bandar Paris dengan menaiki sebuah kereta bercermin hitam bagi mengelak perhatian umum dan turut meninjau beberapa kediaman yang berpotensi didiami mereka.

Bagaimanapun, teman wanita Frenkie De Jong, Mikky Kiemeney turut diberi layanan serupa, meninjau pangsapuri di Paris, tetapi pemain tengah itu akhirnya memilih untuk menyertai Barcelona, meskipun ditawarkan kontrak yang nilainya jauh lebih rendah.

Justeru, PSG tidak memandang mudah sehinggalah de Ligt menurunkan tandatangannya dengan tawaran gaji dikatakan bernilai 350,000 pound (RM1.84 juta) seminggu. - AGENSI