Skuad Harimau Malaysia gagal menghasilkan sebarang gol setelah kali terakhir melakukannya ketika tumpas 2-1 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 pada 17 November tahun lalu.

Dalam dua perlawanan ­terakhir, Malaysia kalah 0-2 kepada Arab Saudi, diikuti seri 0-0 dengan Macau.

Kim Swee berkata, kesilapan ketika melakukan hantaran memberi ruang kepada lawan untuk berada dalam kawasan negara, bagaimanapun pertahanan yang kental telah menyelamatkan gawang Harimau Malaysia daripada dibolosi.

“Saya percaya daripada perlawanan malam ini kita bermain agak baik tetapi kita mampu untuk beraksi dengan lebih bagus lagi.

“Banyak hantaran silap dilakukan menyebabkan kita diasak oleh pasukan lawan.

“Itu kesilapan kita sendiri. Kesilapan daripada segi me­lakukan hantaran telah memberi ruang kepada Myanmar untuk berada di depan namun nasib baik kami bertahan dengan baik sampai habis begitu juga dengan pihak lawan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Myanmar hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai peluang skuad negara untuk meraih kemenangan bagi menghadapi Timor Leste dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Kim Swee berkata dia kekal optimis.

“Saya menggunakan pemain terbaik, namun selepas babak kedua saya melakukan pertukaran kerana ada beberapa pemain saya mengalami perlanggaran.

“Perlawanan ini penting untuk mencari kombinasi. Pemain utama yang terdiri daripada pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) me­nyertai kem latihan lewat iaitu dua hari sebelum pertemuan Myanmar kerana mereka terlibat dengan Piala AFC.

“Walaupun lewat mereka masih kelihatan positif. Jadi saya percaya selepas ini kami akan beraksi dengan lebih baik,” katanya lagi.

Dalam perlawanan tersebut, tidak banyak percubaan berbahaya yang dilakukan kedua-dua pasukan, malah bahagian tengah skuad negara dilihat seperti hilang arah.

Pada babak kedua Kim Swee melakukan enam pertukaran apabila membawa keluar Mohd. Amri Yahyah, Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisyam, Junior Edstal, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd. Amirulhadi Zainal dan Mohd. Fazly Zainal diganti dengan Christie Jayasealan, S. Chanturu, Mohd. Amirul Hisyam Awan Kechik, S. Kumaahran, Zaquan Adha Abdul Razak dan Khair Mohd. Jefri Jones.

Hanya sekali-sekala percubaan yang dilakukan anak-anak buah Kim Swee bagaimanapun tiada satu pun menemui sasaran sekali gus ia menjadi tanda tanya terhadap kemampuan Harimau Malaysia untuk mencipta kemenangan terhadap Timor Leste nanti.