Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee berkata, jumlah tersebut ‘diwajibkan’ bagi membentuk pasukan untuk bertanding dalam kejohanan tersebut, namun jika gagal tindakan menarik diri adalah langkah terbaik.

Bagi mengelakkan situasi tersebut berlaku, pengendali dari Melaka itu berharap semua pasukan di Liga Malaysia (Liga M) memberi kebenaran dan pelepasan kepada anak-anak buahnya untuk menyahut seruan negara.

“Kena faham, apabila saya menyenaraikan 24 pemain untuk dipanggil (dan) enam pemain dalam senarai sedia ada, hanya daripada 30 pemain ini sahaja yang saya boleh panggil.

“Mengikut peraturan minimum 18 pemain dibenarkan untuk ke Sukan Asia. Jika kita tidak dapat mengumpulkan jumlah tersebut, bermakna kita perlu tarik diri daripada kejohanan (acara bola sepak) Sukan Asia.

“Saya harap semua pasukan memberikan kerjasama, dan yang penting adalah untuk kepentingan negara. Saya telah bercakap banyak kali perkara ini, di mana kepentingan negara perlu diutamakan.

“Saya faham ada jadual Piala Malaysia (yang berlangsung serentak dengan Sukan Asia) hanya beberapa perlawanan sahaja (bertembung) dan tanpa beberapa pemain, semua pasukan (di Liga M) masih mampu memberikan saingan cukup sengit,” ujar Kim Swee.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi dialog bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin di Kampung Padang Balang, di ibu negara di sini hari ini.

Kesukaran membentuk skuad terbaik dalam misi beraksi di Sukan Asia 2018 Indonesia bermula Ogos ini berdepan kesukaran susulan tiada jaminan buat pemain yang terpilih untuk mendapat pelepasan daripada pasukan di Liga M biarpun senarai 24 nama telah dikeluarkan Rabu lalu.

Konflik dijangka berlaku selepas kalendar Sukan Asia 2018 bakal bertembung dengan Piala Malaysia iaitu pada bulan yang sama.

Semalam, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, 23, mengakui gembira dapat menyertai barisan bimbingan Kim Swee untuk bermain di Indonesia, namun terpaksa menunggu kelulusan pelepasan daripada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).

Dalam perkembangan lain, Kim Swee memberitahu, beliau tidak akan mengubah perancangan untuk menentang China dalam aksi persahabatan sekali pun terdapat perubahan dalam peringkat kumpulan selepas undian semula acara bola sepak Sukan Asia 2018 dibuat.