Dalam perlawanan tersebut Croatia berjaya mendapatkan jaringan awal menerusi Ivan Perisic pada minit ke-18 hasil rembatan kencang yang menembusi pertahanan Portugal.

Bagaimanapun penguasaan Croatia tidak bertahan lama apabila Pepe dapat menyamakan kedudukan 14 minit selepas itu.

“Saya terlalu gembira dan bersyukur dengan peluang yang diberikan Portugal kepada saya dan saya cuba menikmati setiap saat.

“Kami beraksi baik dengan ramai pemain muda cuba menunjukkan bakat mereka,” kata Pepe, 35, kepada stesen televisyen RTP.

Sewaktu perlawanan tersebut Portugal merehatkan pemain bintang mereka, Cristiano Ronaldo yang masih menyesuaikan diri dengan kelab baharu Juventus selepas berhijrah daripada Real Madrid.

Pada separuh masa kedua turut menyaksikan Portugal berjaya mendominasi babak kedua dan hampir memenangi perlawanan itu apabila hantaran leret Mario Rui berjaya dimatikan oleh pertahanan Croatia, Antonio Milic sebelum terkena palang gol.

Dua pemain Croatia, iaitu penjaga gol Danijel Subasic dan penyerang Mario Mandzukic sudah tidak lagi bersama pasukan itu kerana bersara manakala Ivan Rakitic direhatkan untuk aksi menentang Portugal. – REUTERS