Meskipun ramai yang menjangkakan generasi emas Belgium yang diketuai Eden Hazard bakal membuat kejutan, namun ternyata percaturan Deschamps meranapkan impian Belgium untuk ke 'final' Piala Dunia buat kali pertama.

Daripada semua sudut, kedua-dua pasukan seimbang. Terutamanya di bahagian serangan dan pertahanan.

Cumanya seperti perlawanan menentang Argentina dan Uruguay sebelum ini, Perancis menang di midfield (dibaca Kante).

Deschamps yang mengetuai Perancis memenangi Piala Dunia pertama negara itu pada 1998 ternyata telah merangka percaturannya dengan baik untuk perlawanan ini.

Deschamps berjaya mencatur taktikal pasukannya sehingga mengurangkan faktor Hazard dan De Bruyne yang menjadi tonggak serangan Belgium.

Gandingan Matuidi-Hernandez-Kante dilihat sentiasa mengikat pergerakan De Bruyne, manakala gandingan Pogba-Pavard-Kante pula menolak Hazard ke tepi dan jauh daripada kotak penalti supaya tidak dapat mencipta peluang untuk lukaku.

Kante memainkan peranan utama dengan membantu mengehadkan pergerakan kedua-dua bintang Belgium itu. Bintang Chelsea itu tidak henti-henti berlari ke sana ke sini memastikan pergerakan Hazard dan De Bruyne dirantai.

Situasi ini menyebabkan Hazard dan De Bruyne tidak banyak membuat larian-larian mereka untuk mencipta peluang jaringan, sebaliknya terpaksa membuat hantaran lintang dari luar kotak sahaja.

Kawalan pertahanan Perancis menjadi lebih ketat apabila pasukan itu berjaya mendahului menerusi gol jaringan Umtiti hasil tandukan daripada sepakan penjuru.

Kesemua pemain Perancis berada di dalam 'half' sendiri apabila Belgium mahu memulakan serangan. Situasi ini menjadikan zon bertahan Perancis kompak dengan para pemainnya yang menyukarkan Belgium untuk mencari gol.

Dalam tempoh 20 minit terakhir permainan, Belgium hanya mampu bergantung kepada hantaran lintang ke dalam kotak penalti Perancis sahaja.

Dengan Lukaku dikawal ketat oleh gandingan Varane-Umtiti, hantaran-hantaran lintang Belgium tidak membuahkan sebarang hasil. Paling hampir pun percubaan Fellaini yang tersasar sipi daripada tiang gol.

Malah, serangan balas Perancis dilihat lebih berbahaya apabila Griezmann dan Tolisso hampir menambah jaringan Perancis, kalau bukan disebabkan oleh kecekapan Courtois.

Martinez cuba melakukan beberapa perubahan taktikal dengan membawa masuk Mertens, Carrasco dan Batshuyai untuk memberi impak, namun tiada apa yang berjaya diubahnya.

Secara keseluruhannya, taktikal Deschamps menjadi apabila barisan serangan Belgium yang dipacu oleh Hazard-Lukaku-De Bruyne berjaya dirantai dan pergerakan mereka dihadkan sehingga gagal memberi impak besar.

Daripada sudut serangan Perancis pula, gandingan pertahanan Belgium diketuai Kompany dilihat gagal menyekat 'kelajuan' pemain Perancis terutamanya Mbappe. Beberapa kali penyerang PSG itu berjaya lolos masuk ke kawasan penalti Belgium dan mencipta peluang.

Selain mampu bertahan dengan sangat baik, Perancis juga memanfaatkan setiap serangan balas dan sepakan percuma serta penjuru untuk mencipta peluang jaringan yang menjadi ramuan mereka menumbangkan Belgium. - UTUSAN ONLINE