Katanya, komitmen pihak pengurusan untuk menyelesaikan soal gaji pemain tidak pernah berubah.

“Biarlah orang hendak kata apa, lepas korek isu ini, korek isu lain pula. Takkan pasukan negeri sampai bola pun tak boleh beli. Sampai begitu sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan beberapa pemain bahawa Perlis bukan sahaja berdepan isu gaji pemain, malah terpaksa meminjam peralatan seperti bola daripada pasukan lain dalam persiapan Liga Malaysia (Liga M).

Seorang pemain yang enggan namanya didedahkan membe­ritahu Utusan Malaysia, ­Perlis terpaksa meminjam peralatan Felcra ­ untuk menjalani latihan.

“Kami berlatih menggunakan peralatan Felcra FC selama dua bulan. Itu urusan pengurusan dan memang Felcra FC sudah datang ambil semula barang mereka.

“Bagaimanapun, kami sudah dapat peralatan latihan baharu. Barang dari PFA sendiri, saya tidak tahu mereka beli atau apa tetapi yang penting kami sudah ada peralatan baharu sejak semalam,” katanya.

Dia juga mendedahkan pemain muda Perlis terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri ketika mahu pulang ke tanah air selepas menyertai satu kejohanan jemputan di Thailand, Januari lalu.

“Kejadian berlaku ketika di lapangan terbang di mana bagasi kami lebih muatan, nak minta duit daripada pengurusan mereka sudah masuk (balai berlepas) jadi pemain muda tidak ada duit dan pemain senior tolong bayarkan.

“Bayaran itu sepatutnya dilakukan pihak pengurusan. Saya tidak tahu pengiraannya,” katanya lagi.

Sebelum ini, dua nama besar, Safee Sali dan Badhri Radzi dikatakan mahu meninggalkan Perlis tetapi kedua-dua pemain menafikan berita tersebut.