United tidak boleh tewas kepada West Brom di Old Trafford jika mahu menyekat kemenangan City, namun tandukan Jay Rodriguez pada minit ke-73 membolehkan West Brom meraih kemenangan sensasi.

Keputusan itu hadir hanya seminggu selepas United mempamer kebangkitan selepas ketinggalan 0-2 ketika mengalahkan City 3-2 di Etihad, 8 April lalu.

Kata Mourinho, dia tidak gembira dengan aksi dipamerkan pemainnya terutama selepas meraih keputusan membanggakan ketika menentang City sebelum ini.

“Saya tidak tahu sama ada saya orang pertama, kedua atau ketiga, namun saya mahu mengucapkan tahniah kepada mereka (City) secara bersemuka apabila berpeluang.

“Saya tahu mereka akan tetap bergelar juara, cuma... kalau saya berada dalam situasi mereka, saya pasti sedih apabila orang berkata, kejuaraan diraih kerana Manchester United tewas kepada West Brom.

“Pada saya mereka menang kerana mereka pasukan terbaik dan hanya keciciran beberapa mata musim ini.

“Tentang pasukan kami...Saya percaya dengan kerja saya kerana tiada sebab untuk saya meraguinya selepas memenangi lapan trofi dan tiga gelaran Liga Perdana. Gelaran Liga Perdana terakhir adalah tiga tahun lalu...bukan 20 tahun lalu.

“Saya tahu bagaimana hendak menang, saya percaya dengan diri saya tetapi bukan saya yang bermain di atas padang,” kata jurulatih kelahiran Portugal itu.

United masih memegang rekod pasukan paling banyak muncul juara Liga Perdana dengan 20 kejuaraan, namun trofi terakhir hadir pada musim 2012/2013 di bawah bimbingan Alex Ferguson. – AGENSI