Facebook JOHOR Southers Tigers memuat naik gambar bek kiri kebangsaan itu memakai baju Harimau Selatan dengan kapsyen 'Welcome Home Syazwan Andik'.

Khabar kepulangan Syazwan, 22, ke JDT sudah bertiup kencang sejak beberapa hari lalu, dan Harimau Selatan mengorak langkah pantas menyambar pemain tersebut sebaik sahaja dia mengesahkan sudah meninggalkan Kuala Lumpur.

Syazwan membatalkan kontrak dengan skuad The City Boys kerana tidak dibayar gaji selama dua bulan pada November dan Disember.

JDT bukan pasukan asing buat pemain kelahiran Johor itu kerana dia pernah menyarung jersi JDT II pada 2016 dan 2017 sebelum menyertai Kuala Lumpur pada 2018.

Nama Syazwan mula melonjak naik selepas dia membantu skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mara ke final Piala AFF, Disember lalu. - UTUSAN ONLINE