Memilih untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia yang boleh dianggap sangat muda bersama Nur Amalina Norain, penyerang kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu menyimpan hasrat untuk bergelar seorang pelakon suatu hari nanti sekiranya mempunyai peluang.

Mungkin ada yang menganggap cita-citanya itu suatu gurauan tetapi tidak bagi Syafiq, 22, yang menyatakan hasrat ingin menjadi seorang pelakon jika diberi peluang selepas ini, malah bersedia untuk menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sambilan selain bermain bola sepak profesional.

“Saya bercita-cita untuk jadi pelakon selepas ini selain menyambung pengajian dan menjadi ahli perniagaan.

“Tapi sekarang fokus jadi pemain bola sepak dulu. Pelakon yang paling saya minati ialah Datuk Shah Rukh Khan dan Tom Cruise sebab dia boleh melakonkan pelbagai karektor.

“Jika diberi peluang saya tak kisah berlakon watak apa pun. Watak baik, jahat, nakal atau sahaja, saya akan cuba buat yang terbaik,” ujar pemain yang bakal menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan.

Anak sulung daripada empat beradik itu, mengakui cita-citanya itu terpaksa diketepikan dahulu memandangkan dia perlu menjalankan tanggungjawab terhadap negara untuk persiapan bagi menghadapi Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di China, tahun depan.

“Buat masa sekarang jadual untuk persiapan musim depan agak padat dengan misi penting negara. Mungkin menjadi pelakon akan berlaku selepas ini. Kejohanan besar yang bakal berlangsung adalah Piala AFC 2018. Saya diberi kepercayaan menganggotai skuad Bawah 22 Tahun kebangsaan dan pastinya akan melakukan yang terbaik,” katanya.

Mengimbas kembali kerjayanya sebagai pemain bola sepak, Syafiq mula mewakili negara seawal usia 12 tahun dengan menyertai Piala Danone di Perancis pada tahun 2007.

Bakatnya sebagai penyerang semakin menyerlah dan terus membawa nama Malaysia ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (SMK Tatar) sehingga terpilih menyertai skuad ke Piala Manchester United Bawah 14 Tahun di Carrington pada 2010.

Syafiq, yang turut meminati aktiviti lasak, juga merupakan penjaring terbanyak selama dua tahun berturut-turut untuk SMK Tatar dalam saingan Liga KPM-FAM pada tahun 2011-12.