Tambah Kim Swee, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pemain itu yang baharu sahaja melangsungkan perkahwinan di Pulau Pinang, semalam, malah menegaskan belum memutuskan sebarang tindakan disiplin terhadap Syafiq.

“Sehingga hari ini, 29 pemain telah melaporkan diri termasuk Matt (Matthew Davies). Hanya Syafiq masih lagi belum melaporkan diri dan saya masih menunggu maklum balas daripadanya tentang situasinya selepas dia melangsungkan perkahwinan semalam.

“Sepatutnya dia menghubungi FAM kerana sebelum ini dikatakan dia tidak akan berbulan madu tetapi selepas perkahwinan tiada sebarang berita lagi daripadanya. Saya belum memikirkan tentang apa tindakan tetapi jika cuti berpanjangan, saya percaya pemain-pemain yang berada di sini telah berlatih dengan begitu lama.

“Untuk mengembalikan kecergasannya dalam masa singkat mungkin agar sukar dan ia terpulang kepada situasi nanti. Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan sebelum memutuskan apakah tindakan selanjutnya. Kalau mengikut jadual dia harus melaporkan diri secepat mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi latihan yang telah memasuki fasa kedua di sini hari ini.

Dalam kejohanan itu, Malaysia yang diletak dalam Kumpulan C bakal memulakan kempen menentang juara 2013, Iraq pada 10 Januari, diikuti Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari) .

Dalam perkembangan sama, pengendali dari Melaka itu menegaskan, sesi latihan berjalan dengan lancar dan senarai nama pemain yang bakal dibawa ke Korea Selatan akan diumumkan selepas perlawanan persahabatan menentang Melaka United 14 Disember nanti.

“Sebelum itu, perlawanan menentang PJ Rangers (9 Disember)merupakan ujian pertama dan mereka harus mengambil kesempatan untuk membuktikan sama ada mereka mampu bersama pasukan ini dengan corak permainan yang saya mahukan.

“Saya akan menilai permainan mereka sebelum memutuskan siapa yang akan dibawa ke Korea Selatan selepas perlawanan menentang Melaka United,” jelasnya

Sementara itu, Syafiq mengesahkan dia akan melaporkan diri di kem negara pada 8 Disember ini selepas menyelesaikan segala urusan majlis perkahwinannya.

“Saya akan kembali melaporkan diri bersama skuad negara pada 8 Disember ini,” katanya.