Bagaimanapun jurulatih mereka, Vladimir Petkovic mahu skuad Nati mencuri tumpuan sekali lagi, tetapi kali ini bukan kerana gaya tetapi mengulangi sejarah 64 tahun dengan me­langkah ke suku akhir.

Hanya kemenangan ke atas Sweden dalam pusingan 16 akhir di Stadium Saint Petersburg akan membina legasi baharu buat skuad ‘Generasi Emas’ Switzerland.

Biarpun bakal beraksi tanpa pemain berpengaruh, Stephan Lichtsteiner dan Fabian Schar, namun Petkovic optimis pasukannya mampu pergi jauh de­ngan memiliki kreativiti Ricardo Rodriguez, Xherdan Shaqiri serta Granit Xhaka.

“Kami mahu lagi dan lagi. Kami mahu mencipta sejarah, kami datang dengan cita-cita besar dan misi kami selepas ini adalah menewaskan Sweden,” kata Petkovic.

Kali terakhir Switzerland me­langkah ke suku akhir adalah pada 1954, dan mereka tewas 5-7 kepada Austria ketika itu.

Seri dengan Brazil (1-1) dan Costa Rica (2-2), selain menang 2-1 ke atas Serbia membolehkan Switzerland mara ke peringkat kalah mati di Rusia selaku naib juara Kumpulan E.

Sweden pula muncul juara Kumpulan F selepas menewaskan Korea Selatan (1-0) dan Mexico (3-0) tetapi kalah 1-2 kepada Jerman.

Biarpun tidak memiliki nama besar, malah dilihat kurang efektif di depan pintu gol lawan, namun Sweden bersedia untuk menyekat kemaraan Switzerland.

Kapten Sweden, Andreas Granq­vist satu-satunya pemain skuad Blagult yang berjaya meledak lebih daripada satu gol, itu pun menerusi pe­nalti.

Sweden dijangka menggunakan taktik serangan balas dan lebih banyak bertahan dalam misi mengatasi pencapaian mara ke separuh akhir 1994.

“Siapa peduli? (serangan kurang efektif). Kami tidak boleh bersaing dengan Perancis atau Sepanyol apabila melibatkan skil, namun nasib baik bola sepak tidak ditentukan oleh hantaran tiki-taka sahaja,” kata pemain tengah Sweden, Albin Ekdal. – REUTERS