Pada aksi ulangan pusingan keempat awal pagi ini, Swansea membelasah Notts County 8-1 manakala Huddersfield bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 4-1 ke atas Birmingham City dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan.

Namun tugas berat menanti Huddersfield kerana pada pusingan kelima nanti, mereka terpaksa berdepan Manchester United yang sudah pun layak le­bih awal manakala Swansea akan bertemu kelab Liga Kejuaraan, Sheffield Wednesday.

Sheffield Wednesday merupakan kelab yang telah memecat pengurus Swansea sekarang, Carlos Carvalhal awal musim ini. Carvalhal kemudiannya menyer­tai Swansea dan berjaya membentuk skuad mantap sehingga berjaya menewaskan Liverpool dan Arsenal baru-baru ini.

“Ia menjadi penting jika ia adalah keputusan terbaik dalam sejarah (kelab ini). Tetapi apa yang lebih penting bagi saya adalah sikap pemain kami yang telah berjaya mengubah segalanya,” kata Carvalhal.

Huddersfield pula perlu berterima kasih kepada gol sendiri pemain Birmingham untuk menafikan gol pendahuluan Che ­Adams sebelum bangkit pada masa tambahan dengan tiga gol lagi menerusi Steve Mounie, Rajiv van la Parra dan Tom Ince.

Satu lagi perlawanan menyaksikan kelab Divisyen 1, Rochdale mengejutkan kelab Liga Kejuaraan, Millwall 1-0 untuk me­nempah pertemuan dengan pemenang pertemuan Tottenham Hotspur dan Newport yang hanya berlangsung esok. – AFP