Hazwan yang dijangka menjadi sandaran utama sebagai penyerang tunggal negara dalam aksi menentang Korea Utara, hari ini di Stadium I-Mobile, Buriram, mengakui tugas menjaringkan gol tidak hanya bergantung kepadanya sebaliknya sesiapa sahaja mampu untuk melakukannya.

“Tiada istilah yang hanya bergantung kepada saya kerana bola sepak adalah sukan berpasukan jadi semua pemain perlu memainkan peranan sebaik mungkin dan bermain sebagai satu pasukan.

“Ya...kali ini kita perlu mendapatkan keputusan lebih baik dan ini peluang terbaik untuk melakar kemenangan pertama diperingkat antarabangsa selepas gagal melakukannya dalam lima perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Skuad kebangsaan kini berdepan misi hidup mati, seandainya mereka tewas pada perlawanan pertama menentang Korea Utara maka impian untuk beraksi di Piala Asia mungkin boleh dilupakan dan aksi kedua pada Isnin ini boleh diibaratkan sekadar pelengkap jadual.

Anak didik Nelo Vingada sekurang-kurangnya perlu mengutip empat mata dalam dua pertemuan ini bagi bersaing di kedudukan kedua kumpulan B.

Dalam saingan kumpulan tersebut, Malaysia kini menduduki tangga tercorot selepas hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.- UTUSAN ONLINE