Sumareh, 27, berlepas serta merta ke Melaka hari ini sejurus mendapat pelepasan daripada majikannya Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Pemain kelahiran Gambia itu bagaimanapun tidak sempat untuk berlatih bersama rakan-rakan sepasukannya petang ini kerana tiba di Melaka pada sebelah malam.

“Saya dalam perjalanan ke Melaka hari ini. Saya akan menyertai latihan (skuad kebangsaan). Saya boleh bermain dan akan bersama pasukan kebangsaan esok (ke Colombo, 10 Oktober,” kata Sumareh.

Kelibat pemain naturalisasi pertama negara itu tidak kelihatan pada latihan sulung skuad negara di Stadium Hang Tuah semalam selepas dikatakan tidak mendapat pelepasan PBNP.

Bagi Cheng Hoe, biarpun tempoh persiapan singkat, kehadiran Sumareh dalam skuad kebangsaan adalah masa terbaik untuk mengujinya dan berharap pemain itu dapat membentuk keserasian bersama pemain lain.

Begitupun katanya, beliau tidak bercadang me­nukar strategi dan mahu mengekalkan formasi empat pemain pertahanan bertemu Sri Lanka dan Kyrgyzstan.

“Saya akan kekalkan corak permainan seperti sebelum ini, sudah tentu itu pilihan terbaik,” katanya.

Skuad kebangsaan akan turun ke padang untuk latihan terakhir pagi esok sebelum berlepas ke Colombo, Sri Lanka untuk bertemu negara itu, Jumaat ini.

Kata Cheng Hoe, fokusnya adalah mencari gandingan terbaik untuk menentukan 23 pemain yang bakal menggalas tugas dalam Piala Suzuki AFF, November ini.