Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang mengesahkan perkara itu berkata, Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima rayuan Pahang bagi mendaftarkan Sumareh, pemain kelahiran Gambia sebagai pemain tempatan pada jendela perpindahan pertama musim 2019.

“Peraturan Manual Liga Malaysia menetapkan syarat bagi pemain naturalisasi hanya boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan lima tahun selepas pemain tersebut mendapat pasport warganegara yang sah.

“Ini bermaksud Sumareh boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan mulai tahun 2023. Bagaimanapun, selepas penelitian pihak MFL, Sumareh didapati telah bermastautin di Malaysia sejak umur 12 tahun.

“Selepas perbincangan, keputusan dicapai oleh Lembaga Pengarah MFL pada 28 September lalu untuk membuat pengecualian syarat pendaftaran lima tahun selepas pemain itu mendapat pasport warganegara yang sah dan membenarkan Sumareh didaftar sebagai pemain tempatan bukan lagi lima tahun tetapi hanya satu tahun dari tarikh permohonan Pahang iaitu 2 Mac 2019.

“Menurut keputusan yang dicapai Lembaga Pengarah MFL pada 28 September itu, Pahang hanya boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dari 2 Mac 2019,” kata Kevin dalam satu kenyataan rasmi daripada lawan web MFL, hari ini

Sebelum ini, MFL mendedahkan status Sumareh hanya akan diketahui sebelum 16 Januari iaitu selepas Pahang menghantar surat permohonan untuk membenarkan pendaftaran Mohamadou Sumareh sebagai pemain tempatan pada 2 Mac 2018.