Sultan Pahang menerima anugerah tersebut untuk kali kedua selepas 2013 sebagai mengiktiraf sumbangan besar baginda dalam mengeratkan hubungan kejiranan antara ahli gabungan persekutuan serantau itu.

Dalam Kongres AFF ke-22 kelmarin, baginda mengekalkan jawatan nombor satu badan bola sepak itu tanpa bertanding untuk penggal kedua (2015-2019).

Bekas setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Paul Mony Samuel, yang memegang jawatan sama dalam AFF dari 1988 hingga 2000, mene­rima Anugerah Khidmat Sepanjang Hayat atas sokongan berterusan ke arah pembangunan bola sepak di rantau ASEAN.

Malaysia juga turut membolot tiga lagi anugerah apabila Mohd. Amirul Izwan Yaacob dinobatkan sebagai Pengadil Lelaki Terbaik, Rita Ghani (Pengadil Wanita Terbaik) dan Azman Ismail (Pembantu Pengadil Lelaki Terbaik).

Rita merupakan pengadil pertama Malaysia dipilih untuk me­ngadili perlawanan Piala Dunia Wanita 2015 di Kanada, Jun lepas.

Malaysia juga boleh berbangga dengan pencapaian bekas kapten Harimau Malaya, Muhammad Shukor Adan, yang juga pemain pertahanan dan penyerang kebangsaan Safiq Rahim yang terpilih dalam Kesebelasan Terbaik AFF.

Skuad kesebelasan itu didominasi oleh enam pemain Thailand, masing-masing dua dari Malaysia dan Vietnam dan seorang pemain Singapura.

Thailand, yang muncul juara Piala AFF 2014, turut dinamakan sebagai Pasukan Lelaki Terbaik manakala skuad wanita negara itu dipilih sebagai Pasukan Wanita Terbaik. – BERNAMA