Thanabalan, yang muncul penjaring terbanyak Malaysia selepas meledak empat gol dalam kempen Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu berkata, dia perlu menggunakan kelebihan kelajuan yang ada dirinya untuk menembusi gawang lawan.

“Persiapan terakhir kami berjalan dengan lancar dan saya fikir yang main untuk perlawanan esok kebanyakannya adalah mereka yang selalu diturunkan oleh jurulatih kerana sudah biasa dengan taktikal permainan.

“Memang saya akui saiz tubuh badan pemain Iraq lebih besar berbanding kami namun saya fikir kami perlu mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk mengatasinya.

“Saya fikir dengan menggunakan kelajuan yang ada pada pemain mungkin kami dapat mengatasi pemain Iraq kerana tiada guna untuk kami menggunakan fizikal untuk mencabar mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Thanabalan yang sudah mampu membiasakan diri dengan keadaan cuaca di China turut mengharapkan doa dan restu daripada peminat bola sepak terutamanya sebelum memulakan kempen mereka esok.

“Ini adalah penampilan pertama kita dalam kejohanan ini dan sudah pasti kita mahukan permulaan yang baik untuk perlawanan pertama dan saya berharap agar semua peminat bola sepak tanah dapat mendoakan kejayaan untuk kami semua,” katanya.- UTUSAN ONLINE