N. THANABALAN
N. THANABALAN

Ketua Jurulatih skuad bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee berkata, laporan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), pemain berusia 23 tahun itu menunjukkan dia mengalami kecederaan di lutut kiri dan memerlukan masa yang lama untuk sembuh.

“Selepas menerima laporan MRI daripada doktor pagi tadi, Thanabalan menjadi pemain terbaharu yang terpaksa saya lupakan khidmatnya kerana memerlukan masa lebih lama untuk pulih.

“Namun, tidak mengapa kerana saya ada pemain yang boleh me­ngisi kekosongan itu.

“Saya tahu Thanabalan ada kecederaan (sebelum melapor diri) namun mengikut laporan sebelum ini dia memerlukan masa untuk pulih tetap selepas bersama pasukan, kami mendapat kece­deraan tersebut tidak beransur pulih.

“Keputusan ini terpaksa diambil untuk kebaikan Thanabalan dan secara tidak langsung memberi laluan kepada pemain lain.

“Daniel Amier (Norhisham) juga dalam keadaan 50-50 akibat cedera pangkal paha kiri namun saya harap dia cepat sembuh.

“Jika tidak dapat beraksi pada perlawanan pertama, Daniel boleh bermain untuk aksi kedua dan ketiga. Saya juga mungkin memanggil semula Hadi Fayyadh (Abdul Razak). Bergantung kepada keadaan,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM hari ini.

Hadi Fayyadh tidak bersama skuad B-23 negara selepas menjalani latihan intensif bersama kelab Jepun, Roasso Kumamoto selama enam hari bermula Selasa lalu dan dijangka menyertai latihan pada 13 Ogos ini.

Tambah Kim Swee, beliau mahu menjadikan aksi persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam esok sebagai platform untuk mencari ramuan terbaik dalam menentukan kesebelasan utama pasukan.

Sementara itu, Thanabalan yang menjadi wira pada Sukan SEA 2017 mengakui kecewa kerana tidak dapat menyertai pasukan selepas dibelenggu kecederaan, namun enggan membiarkan perkara tersebut melemahkan sema­ngatnya.

“Saya rasa rugi kerana tidak dapat bermain dalam Sukan Asia, ia juga merugikan untuk karier saya.

“Kecewa memang ada, namun saya harap rakan sepasukan berjuang dan tidak mustahil boleh pergi jauh,” kata penyerang Ne­geri Sembilan itu.