Namun, apa yang dilakukannya ketika menentang Rusia selepas itu mungkin dilihat di tanah airnya sebagai satu pencapaian yang lebih hebat.

Subasic mendapat kecederaan kaki yang cukup perit dalam detik-detik akhir babak kedua semalam.

Dia memegang belakang kakinya dekat urat pelipat lutut dan seolah-olah memerlukan penggantian pemain.

Namun pemain gantian tidak tiba, malah Subasic masih mampu bermain mengharungi masa tambahan dan sekali lagi menjadi penyelamat dalam penentuan sepakan penalti apabila Croatia menang 4-3 dan mara ke separuh akhir buat kali kedua dalam sejarahnya.

Subasic menyelamatkan percubaan pertama apabila bijak membaca gerak sepakan lawan untuk tolakan Fyodor Smolov.

Croatia menjadi pasukan pertama sejak Argentina memenangi perlawanan Piala Dunia berturut-turut pada 1990 menerusi penentuan sepakan penalti.

Dan kumpulan pemain Croatia yang kepenatan itu beroleh temu janji dengan England dalam separuh akhir.

“Saya fikir kami bukan pilihan sejak hari pertama beraksi dan itu bagus bagi kami.

“Apabila anda mendapat kesemua pasukan lain seperti Perancis, Belgium dan England, itulah pasukan terhandal sejak dari awal dan kami bukan pilihan tetapi, mungkin kami mampu mengubah sesuatu,” kata pertahanan Croatia, Dejan Lovren.

Selepas menyelamatkan sepakan pertama, Subasic dibantu kesilapan Mario Fernandes yang sepakannya tersasar daripada gawang dalam percubaan ketiga.

Akhirnya, Ivan Rakitic menjadi penentu apabila sepakannya membawa Croatia ke separuh akhir dan Subasic turut diraikan rakan sepasukan. – AP