Tambah beliau, visi dan misi yang digariskan Presiden FAM itu akan hanya boleh direalisasikan sekiranya kesemua pemimpin bekerja demi kebaikan bola sepak negara.

“Kita sendiri sudah nampak cara kepemimpinan TMJ sebelum ini di Johor. Tunku memang mengarahkan semua Exco termasuk Timbalan dan Naib untuk sentiasa bekerja. Saya rasa harapan Tunku amat tinggi dan saya harap semua Exco dapat ikut cara kerja Tunku.

“Mungkin pada mulanya ada yang rasa susah. Tapi insya-Allah kalau nawaitu kita betul, kita dapat bekerja dan berkhidmat de­ngan rasa tiada masalah.

“Lagipun itulah sebabnya kenapa kita menawarkan diri untuk menjadi Exco dalam FAM, iaitu kerana mahu berkhidmat dan membantu,” katanya ketika ditemui selepas Kongres FAM Ke-53, di sini hari ini.

Dalam persaingan tiga penjuru merebut kerusi Timbalan Pre­siden itu, Subahan yang juga Pre­siden Persatuan Bola Sepak Sela­ngor (FAS) mendapat undi tertinggi iaitu 37 manakala Timbalan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Me­laka (MUSA) Datuk Mohd. Yusoff Mahadi meraih 33 undi.

Mereka mengalahkan penyandang Datuk Seri Afandi Hamzah yang mendapat enam undi.

Subahan mengakui terkejut dengan keputusan kali ini kerana beliau tewas dalam pemilihan sebelum ini.

“Saya sebenarnya memang terkejut menerima keputusan hari ini (semalam). Pada awalnya saya rasa peluang saya amat sukar kerana sudah hampir tiga ke empat tahun meninggalkan FAM.

“Tetapi nampaknya sokongan masih lagi ada pada saya sebagai Timbalan Presiden. Saya akan melakukan tugas dengan baik dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Yusoff berkata, beliau telah bersiap sedia untuk bekerja secara agresif de­ngan TMJ dan menyeru semua barisan pucuk pimpinan baharu lain bersama-sama berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Malaysia terhadap FAM.

“Mahu tidak mahu kita terpaksa sesuaikan diri kerana kita bekerja dengan orang muda dan bola sepak negara pun mengharapkan perubahan yang drastik. Apabila kita sanggup menawarkan diri memegang jawatan ini dan dipilih untuk menggalas tanggungjawab maka kita perlu melaksanakannya dengan baik.

“Bukan saya sahaja tetapi semua yang terpilih, perlu tukar mood daripada duduk sahaja di FAM hanya untuk panaskan ke­rusi memasuki mensyuarat atau sekadar jadi pak turut, era itu telah berakhir dalam FAM.

“Siapa duduk dalam FAM perlu bekerja, jika tidak dapat menjalankan kerja dengan baik maka perlu menjawab dengan Presiden kerana beliau telah beri amaran awal dan turut berharap mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap FAM,” katanya.