Kekalahan demi kekalahan itu bukan saja hampir memadam hasrat mereka untuk menamatkan kempen pada kedudukan empat terbaik, kedudukan yang akan memberi slot ke Liga Juara-Juara Eropah, malah dikhuatiri akan menyempitkan harapan Reds untuk berada dalam kelompok enam terbaik.

Liverpool kini menghuni tangga ketujuh dengan 42 mata, lapan mata di belakang Newcastle yang berada di tempat keenam. Kekalahan hari ini akan menyebabkan kedudukan mereka semakin buruk dan mampu jatuh lebih teruk.

Perkembangan ini jelas agak mengejutkan selepas Liverpool pada awalnya dilihat sudah meraih tonik dengan memenangi gelaran pertama selepas enam tahun apabila menjuarai Piala Liga, bulan lalu.

Bagaimanapun, Suarez memberi semangat kepada rakan-rakan sepasukan bahawa mereka masih mempunyai misi untuk diteruskan, kejayaan yang mampu mengangkat semula semangat Liverpool. Pasukan itu akan berdepan musuh berjiran, Everton pada separuh akhir Piala FA di Wembley, bulan depan.

''Kami sentiasa berdepan tekanan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga, tetapi berjaya memenangi dua piala akan menjadi satu pencapaian yang menggembirakan peminat, yang begitu ingin melihat kami kembali beraksi dalam saingan elit Eropah,'' kata Suarez.

Penyerang Uruguay itu juga memberi amaran kepada Newcastle, Liverpool ibarat 'harimau terluka' yang sedia untuk mengubat kekecewaan dengan memberi persembahan terbaik apabila menentang anak-anak buat Alan Pardew itu di St. James Park.

Liverpool mengalahkan Newcastle 3-1 dalam perlawanan pertama mereka di Anfield, awal musim ini. "Kami sangat marah ketika ini, kami benar-benar mahukan kemenangan di Newcastle,'' tegas Suarez.

Sementara itu, Dalglish memberi sokongan penuh kepada gandingan serangan Suarez, Andy Carroll untuk menghadapi sebarang bentuk sambutan daripada penyokong tuan rumah apabila kembali ke kelab lamanya buat kali pertama sejak menyertai Liverpool, musim ini.

Carroll meninggalkan Newcastle untuk menyertai Liverpool dengan rekod 35 juta pound (RM172 juta) pada Januari, 2011, perpindahan yang tidak disenangi peminat The Toons. Malah, penyerang tinggi lampai itu juga masih gagal untuk memenuhi harganya yang tinggi apabila sekadar menjaringkan lapan gol daripada 47 perlawanan.

Newcastle yang berkongsi 50 mata dengan Chelsea boleh mengorak langkah besar untuk mencari slot ke Liga Europa jika berjaya melakar kemenangan liga ketiga berturut-turut. - AFP