Mohamed Azmin mungkin ada alasan tersendiri mengapa beliau memilih untuk menswastakan Stadium Shah Alam yang selama ini diuruskan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi apa yang menjadi persoalannya ialah mengapa dilakukan senyap-senyap dan kenapa pula syarikat swasta yang mendapat kontrak tersebut diberikan suntikan dana RM10 juta?

Melihat perkara itu, sesiapa pun pelik kerana sepatutnya sebagai sebuah syarikat swasta yang bercita-cita mahu menguruskan sebuah stadium, mereka perlu menggunakan dana sendiri tetapi kenapa pula diberi layanan istimewa sebegitu? Apakah langkah penswastaan itu hanya sekadar untuk mengaburi mata rakyat demi kepentingan individu tertentu?

Sehingga kini, tiada sebarang kenyataan dari Mohamed Azmin berkait isu penswastaan. Exco Sukannya, Amirudin Shaari, juga mengelak untuk menjawab persoalan terbabit apabila diajukan perkara itu minggu lalu dengan memberi alasan, syarikat DEFM Sdn. Bhd. yang diberi kontrak menguruskan stadium akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut.

Namun, apa yang memalukan di sebalik episod Stadium Shah Alam ini, Mohamed Azmin, dalam usahanya menafikan tuntutan para penyokong Selangor agar The Red Giants dibenarkan bermain di gelanggang keramat itu, tergamak membuat kenyataan menjelikkan apabila meminta Selangor bermain di padang pasir seperti pasukan kebangsaan Iraq.

Ia memalukan, kerana bukan sahaja dalam sejarah Malaysia, belum ada lagi Menteri Besar tergamak meminta pasukan bola sepak negeri bermain di padang pasir hanya kerana keegoannya yang enggan membenarkan pasukan negeri bermain di stadium yang sudah pun tersedia, tetapi juga memperlihatkan pengetahuan Mohamed Azmin yang cetek tentang bola sepak Iraq.

Sebenarnya, jika beliau yang juga Timbalan Presiden PKR rajin membuat semakan sedikit, Mohamed Azmin akan sedar bahawa Iraq walaupun dilanda perang berpanjangan, negara tersebut masih memiliki sehingga 19 buah stadium bola sepak dengan Stadium Al-Shaab adalah yang tertua selepas mula digunakan sejak 6 November 1966.

Kepada Mohamed Azmin, jadikanlah perkara tersebut sebagai pengajaran, kerana tanpa kita sedar sebenarnya, perbuatan atau kata-kata yang bersifat sarkastik pada akhirnya hanya memalukan diri sendiri, ibarat meludah ke langit.