Spurs tewas 3-4 kepada Manchester City dalam suku akhir kedua tetapi terikat 4-4 secara agregat dan layak menerusi peraturan gol tempat lawan.

Anak-anak buah Mauricio Pochettino sudah berada di ambang kekalahan selepas Raheem Sterling meledak gol kelima City pada waktu kecederaan.

Pada ketika seluruh stadium gamat meraikan jaringan tersebut, video bantuan pengadil (VAR) menyelamatkan Tottenham apabila gol Sterling dibatalkan kerana Sergio Aguero sudah berada di posisi ofsaid ketika melakukan hantaran.

Pemain kedua-dua pasukan yang bagaikan tidak percaya dengan keputusan itu meneruskan permainan dengan perasaan bercambur-baur sehingga wisel penamat ditiupkan.

Terdahulu, perlawanan di Etihad diwarnai drama kejar mengejar yang menyaksikan lima gol terhasil dalam tempoh 21 minit pertama permainan.

Selepas Sterling membuka jaringan seawal minit keempat, Son Heung-min tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, tiga minit kemudian.

Bintang penyerang Korea Selatan itu meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-1 selepas meledak gol kedua pada minit ke-10, namun giliran Bernado Silva menyamakan kedudukan buat City 2-2 seminit berselang.

Drama di Etihad menjadi semakin menarik apabila Sterling kembali meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-21, dan kedudukan 3-2 kekal hingga tamat babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, City tampil dengan aksi meyakinkan apabila menjarakkan kedudukan 4-2 menerusi Aguero pada minit ke-59.

Tottenham yang menang 1-0 dalam suku akhir pertama minggu lalu memastikan kegembiraan City tidak bertahan lama apabila memperoleh gol ketiga menerusi Fernando Llorente pada minit ke-73.

Jaringan itu menjadikan persaingan semakin sengit apabila City yang terdesak mencari gol kelima melancarkan serangan bertali-arus, sebelum Sterling akhirnya menolak bola hantaran Aguero, dua minit memasuki waktu kecederaan.

Seluruh stadium menjadi riuh rendah, malah jurulatih City, Pep Guardiola sudah melompat meraikan gol tersebut sebelum pengadil dari Turki, Cuneyt Cakir menyebabkan keadaan sunyi seketika apabila mengesahkan gol itu tidak dibenarkan.

Kekalahan tersebut menyaksikan misi City untuk memburu empat trofi musim ini lebur manakala Tottenham pula menempah pertemuan dengan 'pembunuh gergasi' Ajax Amsterdam pada separuh akhir. - AGENSI