Dalam aksi di Stadium Wembley itu yang membabitkan pertembungan dua calon pengendali pilihan untuk menggantikan Jose Mourinho, berakhir dengan pengurus sementara, Solskjaer muncul selaku pemenang ke atas Mauricio Pochettino.

Marcus Rashford meledakkan gol tunggal pada minit ke-44, dan Paul Pogba juga menampilkan persembahan cemerlang, namun, kehebatan penjaga gol Sepanyol, de Gea lebih banyak diperkatakan.

De Gea berjaya menye­lamatkan 11 percubaan berbahaya yang merupakan jumlah tertinggi dilakukan penjaga gol itu tanpa dibolosi dalam perla­wanan besar. Kekebalannya itu menyebabkan jentera serangan Spurs seolah-olah hilang punca kerana gagal menembusi gawang yang dikawal ketat de Gea.

Solskjaer memuji De Gea sebagai penjaga gol terbaik dunia, namun, pada masa sama, turut mengakui kekebalan pertahanan United yang menampilkan semangat berpasukan tinggi.

“Kami memiliki penjaga gol terbaik dan saya berpendapat, dia layak mencabar status Edwin (van der Sar) dan Peter (Schmeichel) sebagai penjaga gol nombor satu dalam sejarah.

“Kemenangan ini cukup manis, semangat berpa­sukan memang hebat, keyakinan dan aura di bilik persalinan memang menakjubkan,” kata pengendali dari Norway itu.

Solskjaer kini menyamai rekod pencapaian Matt Busby yang memenangi lima perlawanan pertama sewaktu mengambil alih tugas mengemudi United.

Red Devils ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal ketika Solskjaer mengambil alih tugas selaku pengurus sementara pada 19 Disember lalu, namun, mereka kini berjaya menyamakan pungutan 41 mata dengan Gunners.

Selepas 22 perlawanan, Arsenal kekal di tangga kelima, manakala, United masih berada di tangga keenam dengan kedudukkan dipisahkan melalui perbezaan jaringan. Kedua-dua pasukan itu kini memburu kedudukan kelompok empat teratas bagi meraih slot ke Liga Juara-Juara. – AFP