Seandainya Solskjaer dapat mengharungi kesemua perlawanan tersebut dengan baik maka dia telah membuktikan kepada pengurusan bahawa pilihan mereka adalah tepat dan jika sebaliknya berlaku mungkin kedudukan pengendali warga Norway itu bakal terjejas.

“Jika dibandingkan pada 19 Disember dan di mana kami berada sekarang, saya rasa semua orang boleh membayangkan apa yang boleh dilakukan dengan lima perlawanan berbaki,” kata Solskjaer.

United akan bertandang ke laman Everton esok, yang menundukkan Chelsea dan Arsenal dalam dua perlawanan terakhir di laman mereka, sebelum melayan kunjungan Manchester City dan Chelsea di Old Trafford.

Ketiga-tiga perlawanan itu akan menentukan sama ada United mampu mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara yang turut menjadi buruan Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspur.

Ketika ini United berada di tangga keenam dan telah mengumpul 64 mata selepas 33 perlawanan berlangsung. - AFP