Sejurus selepas kekalahan mengejut menerusi penentuan sepakan penalti pada suku akhir di Rio, 12 Ogos lalu, Solo yang cukup beremosi menyelar Sweden kerana bermain secara defensif sambil menyifatkan pasukannya tewas kepada ‘sekumpulan pengecut’.

Pemain berusia 35 tahun itu juga mengkritik taktikal jurulatih lawan, Pia Sundhage yang pernah membimbing AS.

Kekalahan tersebut me­ranapkan misi AS untuk mempertahankan pingat emas Sukan Olimpik buat kali keempat, malah ia juga menjejaskan reputasi mereka yang datang ke Rio selaku juara Piala Dunia.

“Kenyataan yang dibuat oleh Hope Solo selepas tamat perlawanan menentang Sweden di Olimpik 2016 tidak boleh di­terima dan melanggar etika yang ditetapkan.

“Olimpik seharusnya menjadi medan untuk kita meraikan dan menjelmakan imej permai­nan adil, selain menghormati semua pihak.

“Kami mengharapkan semua atlet kami menghormati prinsip itu tanpa kompromi,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak AS, Sunil Gulati dalam satu ke­nyataan.

Biarpun dikecam pelbagai pihak, Solo bagaimanapun tidak berganjak dengan kenyataan yang dikeluarkan, sebaliknya mempertahankan komen ‘pengecut’ dan menegaskan penggantungan itu bukan sesuatu yang wajar.

“Saya kecewa dengan keputusan persatuan menamatkan kontrak saya.

“Saya tidak boleh menjadi pemain yang hebat sekiranya tidak menjadi diri sendiri meskipun saya tidak membuat keputusan tepat atau menyuarakan perkara yang salah,” kata Solo kepada Sport Illustrated.

Solo berkata, dia beraksi dan bercakap dengan penuh sema­ngat dan mahu menjadi contoh kepada pemain bola sepak yang akan menyertai skuad AS pada masa akan datang.

“Saya melakukan kerja pemain profesional yang saya tahu iaitu dengan penuh semangat dan komitmen, selain mahu menjadi penjaga gawang terbaik dunia...untuk mengangkat sukan ini kepada generasi atlet wanita pada masa hadapan,” katanya.

Ini bukan kali pertama Solo digantung. Pada 2015 dia pernah digantung selama 30 hari selepas berlaku insiden dalam kem bola sepak kebangsaan. – AFP