Bintang Ajax, Real Madrid dan Inter Milan itu berkata, dia berasa sungguh gembira berada di Timur Tengah dan tidak sabar untuk bermain bola sepak semula selepas beberapa bulan kecewa di Liga Perancis bersama Nice.

Sneijder, 33, menandatangani 18 bulan kontrak dengan pasukan yang menghuni anak tangga ketujuh dalam Liga Bintang Qatar itu dan berkemungkinan akan membuat penampilan sulung pada Jumaat ini apabila Al Gharafa bakal melayani kunjungan Al Ahli dalam saingan liga.

“Jujurnya, keputusan saya untuk berada di sini adalah kerana saya ingin bermain bola sepak.

“Terdapat spekulasi bahawa saya akan berpindah ke kelab Amerika Syarikat, atau China atau lain-lain, namun saya belum pernah baca tentang ‘dia akan beraksi di Qatar’,” kata Sneijder kepada pemberita dalam sidang akhbar.

Sebelum ini, beberapa pegawai yang rapat dengan bintang itu berkata, Sneijder menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Mexico dan Brazil.

“Terdapat banyak tawaran yang saya terima dari pelbagai kelab.

“Bagaimanapun saya memilih di sini dan saya rasa kehadiran saya amat dialukan dan saya gembira berada di Al Gharafa.

“Jujurnya, saya tidak sabar untuk menjalani latihan esok dalam persediaan membantu pasukan,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia turut mengakui tidak mendapatkan pandangan daripada legenda Barcelona, Xavi Hernandez, yang bermain di Qatar bersama Al Sadd, namun termakan pujukan daripada pemain tengah campuran Belanda Maghribi, Anouar Diba yang mewakili Al Kharaitiyat.

Tambah Sneijder, dia tidak bimbang untuk bermain di Qatar, yang dikritik hebat sejak dipilih untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 berhubung isu-isu seperti hak asasi manusia dan rasuah.

“Saya tidak rasa bimbang. Saya datang ke sini untuk bermain bola sepak dan tidak memikirkan langsung akan perkara lain,” jelasnya. – AFP