Keputusan jurulatih Jerman, Joachim Loew melakukan eksperimen pemain, termasuk menurunkan empat buka baharu nyata melemahkan pasukannya dalam aksi di Augsburg.

Tempoh rehat yang panjang sehingga 39 minit ekoran ribut kencang juga menjejaskan persembahan skuad Die Mannschaft dan menyaksikan Slovakia mengambil kesempatan di atas permukaan padang becak.

“Saya tidak pernah berdepan tempoh rehat separuh masa yang begini panjang.

“Permukaan padang tidak selamat, dan mujur tiada apa-apa yang berlaku. Kami bermain baik di babak pertama tetapi sedikit bermasalah di benteng pertahanan.

“Tidak banyak yang anda boleh harap daripada pemain-pemain muda, tetapi keempat-empat pemain mempunyai kualiti tersendiri,” kata Loew yang lega anak-anak buahnya tidak mengalami kece­deraan.

Jerman mendahului menerusi penalti Mario Gomez, manakala jaringan Marek Hamsik dan Michal Duris mele­takkan Slovakia 2-1 di depan tamat separuh masa pertama.

Kesilapan penjaga gol gantian, Marc-Andre ter Stegen membolehkan Slovakia meledak gol ketiga di babak kedua menerusi Juraj Kucka.

Empat muka baharu diturunkan Loew ialah penjaga gol, Bernd Leno, 24; pertahanan ­Joshua Kimmich, 21; pemain tengah Julian Weigl dan Julian Brandt, masing-masing berusia 20 tahun.

Dalam saingan Euro 2016 di Perancis, Jerman mengetuai Kumpulan A bersama Ukraine, Poland dan Ireland Utara, manakala Slovakia berada dalam Kumpulan B yang turut dibarisi England, Rusia dan Wales. – AFP