Kim Swee berkata walaupun pemainnya hanya menjalani latihan seminggu yang lalu namun mereka menunjukkan perkembangan positif tetapi masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Saya rasa satu permainan yang baik untuk aksi pertama kita bermain bersama selepas Januari. Selepas seminggu latihan, pemain nampak cukup bagus dalam babak pertama tetapi kita gagal melakukan penyudahan dengan baik. Babak kedua kita beri ruang kepada China dan mereka memanfaatkannya.

“Secara keseluruhan banyak peningkatan dipamerkan dan sudah tentu kita ada 10 hari lagi untuk persiapan sebelum aksi sulung Sukan Asia 2018 di Indonesia,” katanya.

Malaysia terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain sayap, Akhyar Rashid seawal minit ke-14 tetapi kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila China menyamakan kedudukan menerusi jaringan penalti Zhang Yuning setelah penjaga gol negara, Haziq Nadzli menjatuhkan Deng Hanwen.

Gol kemenangan China dijaringkan oleh Chen Zhechao pada minit ke-53.

Berdasarkan jadual perlawanan Sukan Asia Jakarta-Palembang yang terbaharu, Malaysia akan menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos sebelum bertemu juara bertahan, Korea Selatan (17 Ogos) di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung dan aksi terakhir menentang Bahrain pada 20 Ogos di Stadium Wibawa Mukti, Cikarang.

habis.//