Skuad Datuk Ong Kim Swee mengutip tiga mata berharga pada perlawanan terakhir Kumpulan H itu bagi membuka peluang ke pusingan akhir di China, Januari depan, sementara menunggu keputusan antara Thailand dan Indonesia lewat hari ini.

Sekiranya, Thailand menewaskan Indonesia, anak buah Worawot Srimaka akan layak secara automatik ke pusingan akhir sebagai juara kumpulan, manakala Malaysia muncul sebagai naib juara kumpulan.

Bagaimanapun, Malaysia masih berpeluang layak ke pusingan akhir sekiranya muncul antara lima pasukan terbaik naib juara kumpulan dalam kejohanan yang dibahagikan kepada 10 kumpulan itu.

Turun dengan misi wajib menang, Malaysia, yang mengutip tiga mata selepas mengalahkan Indonesia 3-0 dan kalah kepada Thailand dengan jaringan sama, memulakan perlawanan dengan agresif apabila Muhammad Akhyar Rashid terlepas peluang keemasan pada awal perlawanan.

Malaysia terus menguasai perlawanan namun gagal membuat penyudahan pada separuh masa sebelum bangkit sebaik sahaja aksi babak kedua bermula dengan penyerang N. Thanabalan membuka tirai jaringan pada minit ke-51.

Gol pembukaan tersebut menyuntik semangat pemain apabila mula mengatur asakan sebelum memperkukuhkan kedudukan dengan jaringan Muhammad Syazwan Zaipol Bahari pada minit ke-86.

Biarpun dibelasah 7-0 oleh Indonesia sebelum ini, Mongolia tetap memberi saingan dengan mengatur serangan balas namun pasukan itu menerima nasib malang apabila Uuganbat Bat Erdene dibuang padang pada minit ke-56 akibat terjahan keras terhadap pemain Malaysia.

"Hari ini, kami membuat lima pertukaran dalam usaha memberikan tenaga baharu kepada pasukan selepas pemain keletihan bermain dua perlawanan dalam tempoh lima hari,

Langkah ini berhasil dan kita dapat mengatur gerakan menarik yang membawa kepada jaringan,"kata Kim Swee.

Malaysia menamatkan aksi kelayakan kumpulan dengan enam mata manakala Mongolia tercorot dalam kumpulan dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan Thailand.-BERNAMA