Di bawah pengawasan jurulatih Tan Cheng Hoe, pemain-pemain menjalani latihan di Stadium Universiti Kasetsart, yang terletak kira-kira 30 minit di luar pusat bandar Bangkok.

Mereka menghabiskan kira-kira 1 jam menjalani latihan.

Media hanya dibenarkan berada di stadium selama 15 minit untuk menyaksikan latihan.

Beberapa wakil media Thailand turut berada di Stadium Universiti Kasetsart untuk merakam aksi pemain-pemain Harimau Malaya.

Turut hadir menyaksikan latihan pertama pemain-pemain negara adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Terdahulu, pemain Malaysia tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira 1.25 petang menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dan disambut oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel serta kakitangan kedutaan.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama yang disaksikan oleh lebih 80,000 penonton di Stadium Bukit Jalil Sabtu lepas, skuad bimbingan Cheng Hoe diikat Thailand seri tanpa jaringan, walaupun dihidangkan pelbagai peluang untuk menjaringkan gol. - BERNAMA