Skuad berkenaan yang berada di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), selesa mendahului 4-0 pada babak pertama perlawanan hasil jaringan Najmudin Akmal Kamal Akmal pada minit ketiga, Harith Naem Jaineh (minit ke-27 dan minit ke-31) dan Fahmi Daniel Zaaim pada minit ke-35, menurut laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebaik sahaja babak kedua perlawanan, skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib itu menambah empat lagi gol, masing-masing menerusi Alif Abdul Mutalib pada minit ke-60, Fahmi Daniel (minit ke-64) dan dua jaringan Amirul Ashrafiq Hanifah pada minit ke-73 dan masa kecederaan separuh masa kedua perlawanan.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun B-15 dan Timor Leste sementara baki sembilan pa­sukan lain berada dalam Kumpulan B iaitu Indonesia, Filipina dan Kemboja; Kumpulan C iaitu Thailand, Singapura dan Brunei serta Kumpulan D iaitu Vietnam, Laos dan Pilihan Miyazaki.

Kejohanan tersebut merupakan medan terbaik untuk Raja Azlan Shah mengenal pasti barisan terbaik pasukan berkenaan yang akan mewa­kili Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Remaja B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada September.

Kejohanan di Kuala Lumpur itu pula bertindak sebagai kelayakan zon Asia bagi Piala Dunia B-17 FIFA 2019, dengan empat pasukan teratas layak secara automatik. – BERNAMA