Loew memilih untuk tidak membawa barisan bintang yang merangkul Piala Dunia 2014 pada Piala Konfederasi, kali ini tetapi menurunkan skuad yang diperkuatkan pemain muda sudah memadai untuk Jerman menempah tiket ke perlawanan akhir di St Petersburg, Ahad ini.

Pemain tengah, Leon Goretzka, 22, meledak dua gol seawal lapan minit pertama yang nyata mengejutkan Mexico.

Timo Werner, 21, kemudian menjadikan kedudukan 3-0 ketika permainan berada di pertengahan babak kedua, sebelum Marco Fabian menja­ringkan gol sagu hati buat Me­xico.

Jerman menambah derita Mexico apabila pemain gantian, Amin Younes, 23, menjaringkan gol keempat pasukannya.

“Sejak dari awal permainan, kami berjaya menyempurnakan apa yang telah dirancang. Kami mendominasi saingan dan beraksi bijak di awal perlawanan.

“Mereka berusaha mengasak ketika di pertengahan babak pertama, yang mana memang kami sudah jangkakan dan kami juga tidak banyak me­nguasai bola.

“Secara keseluruhan, keputusan 4-1 adalah pencapaian yang hebat. Kami mahu me­langkah lebih jauh, tetapi sejak dari awal pertandingan lagi, apa yang berlaku ini sama sekali tidak kami duga,” kata ketua jurulatih Jerman, Loew.

Selepas Jerman diikat 1-1 oleh Chile pada peringkat kumpulan, Khamis lalu, Loew berkata, pasukannya kini bersemangat tinggi untuk menewaskan juara Copa America itu dalam perlawanan akhir.

“Chile merupakan lawan yang cukup handal dalam pertandingan ini, kami kenal mereka dengan agak baik dan memang menjangkakan untuk bertemu mereka pada perlawanan akhir.

“Mereka akan berusaha sehabis mungkin kerana mereka sudahpun tiba di penghujung musim dan kami akan cuba berdepan dengan cabaran ini. Banyak usaha telah dilakukan untuk meraih kemenangan.

“Kami tidak menduga berjaya mara sejauh ini (melangkah ke final) kerana segelintir pemain memiliki pengalaman yang cetek dan sukar untuk anda menelah bagaimana reaksi mereka.

“Kami baru sahaja membentuk pasukan ini sejak beberapa minggu lalu.

“Dalam bilik persalinan terserlah keseronokan pemain-pemain ini, tetapi perasaan itu terkawal.

“Pemain sedar mereka perlu bekerja keras dan menyimpan cita-cita untuk menewaskan Chile,” ujar Loew lagi. – AFP