The Reds mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menempah slot ke final di Madrid dengan mencipta kemenangan 4-0 ke atas Barcelona dalam separuh akhir kedua di Anfiled, selepas keciciran 0-3 dalam timbal balik pertama.

Liverpool menamatkan kempen domestik dengan keputusan positif setelah mencatat kemenangan ke atas Wolves dalam perlawanan penutup musim, namun, ia tidak mencukupi untuk mereka merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris selepas diketepikan Manchester City.

Bagaimanapun, Klopp berpeluang mendakap trofi terbesar dalam bola sepak Eropah, apabila mereka bakal berdepan pencabar Liga Perdana, Tottenham pada 2 Jun ini.

Bos Jerman tersebut dan para pemainnya berlepas ke Sepanyol, hari ini, untuk menjalani latihan selama seminggu di mana mereka akan bertemu Roberto Firmino, yang telahpun berada di sana kerana menjalani proses pemulihan tahap kecergasannya.

Firmino terpaksa bermain dalam kesakitan dan berjaya bertahan selama 12 minit pada separuh akhir pertama yang menyaksikan Liverpool kecundang 0-3 kepada Barcelona, tetapi dia kelihatan bergelut dan sejak itu penyerang tersebut tidak beraksi bersama Reds.

Bagaimanapun, bintang Brazil itu bekerja keras bagi mengembalikan prestasinya bersama pembantu pemulihan dan kecergasan Liverpool, David Ridings serta ahli fisio, Sven Kampmann.

Sementara itu, Klopp amat berharap dapat menamatkan penantiannya merangkul gelaran di Anfield.

“Di Jerman kami akan berkata: ‘Semua perkara terbaik datang secara bertiga. Di Mainz, saya terlepas kenaikan ke liga utama sebanyak dua kali dan pada musim ketiga kami berjaya. Kami berharap ia akan berulang lagi pada Liga Juara-Juara pula. Jujurnya, saya rasa ia sesuatu yang menarik.

“Ini merupakan perlawanan akhir keempat saya di pentas Eropah (termasuk tewas kepada Sevilla dalam final Liga Europa 2016). Saya kini mempunyai sebuah pasukan yang bagus dan para pemain telah mengatasi had mereka untuk melayakkan diri,” kata Klopp kepada laman web rasmi, UEFA.com. - AGENSI