Pertemuan menentang Jordan diibaratkan peluang ter­akhir Malaysia untuk terus berada dalam persaingan dan mereka mengambilnya dengan berani untuk me­ngutip satu mata berharga.

Kini skuad Kim Swee perlu mencipta kejutan ke atas satu lagi pasukan pilihan iaitu Arab Saudi dalam perlawanan terakhir mereka di peringkat awal di Stadium Kunshan pada 16 Januari.

“Saya akui sebelum perlawanan ini kami memang tidak diberikan harapan malah saya tidak menafikan ada yang memandang rendah terhadap keupayaan anak-anak buah saya dengan menganggap kami akan tewas, tetapi tidak mengapa.

“Hari ini, pemain saya sudah membuktikan keyakinan mereka, dan walaupun Jordan memiliki taktikal permainan yang berkesan namun pemain kita tetap mampu mendapatkan keputusan yang positif.

“Saya amat berbangga dengan pemain saya. Kami hampir mendapatkan tiga mata daripada perlawanan ini. Kami berjaya menentang kekuatan Jordan.

“Saya berharap pemain saya dapat menukarkan kejutan menjadi realiti dalam perlawanan menentang Arab Saudi. Pada tahap ini bukan kejutan yang dicari tetapi adalah memastikan kita layak ke peringkat seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

Skuad negara mempamerkan persembahan amat berbeza berbanding ketika kalah 1-4 kepada Iraq sebelum ini dan cukup bertenaga terutama pada babak kedua sehingga menyukarkan pemain lawan bermain dengan corak mereka.

Bagaimanapun, skuad kendalian Iain Richard Brunskill terlebih dahulu berada di depan menerusi rembatan Ward Helal Khalid Al Bari pada minit ke-16 hasil hantaran Mohammad Mahmoud Hashem Al-Razem.

Namun, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menyamakan kedudukan pada minit ke-43 apabila menyempurnakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan oleh Saed Ahmad Salameh.

Jaringan tersebut menggembirakan kira-kira 50 peminat Malaysia yang berada di stadium. – MINGGUAN