Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengambil keputusan berani dengan merehatkan beberapa pemain utamanya selepas aksi pertengahan minggu menentang Manchester City dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara yang berkesudahan Reds meraih kemenangan berharga 3-0 di Anfield.

Bintang muda England, Dominic Solanke antara pemain yang diberi peluang mengisi kesebelasan utama Liverpool oleh bos Jerman tersebut dan malangnya dia yang mendapat beberapa peluang keemasan pada babak pertama perlawanan gagal membolosi pintu gol Everton.

Penjaga gol Toffees, Jordan Pickford berjaya menafikan percubaan berbahaya Solanke dari jarak dekat, sebelum dia menyelamatkan rembatan kencang James Milner.

Pertemuan yang berlangsung seimbang itu menyaksikan Everton turut memperoleh peluang menjaringkan gol apabila Yanick Bolasie memaksa penjaga gol Liver­pool, Loris Karius melayangkan badannya untuk menepis keluar bola melepasi palang gol.

Kedua-dua pasukan yang terdesak untuk memburu gol kemenangan sebaik permainan disambung semula pada separuh masa kedua, menyaksikan Seamus Coleman hampir sahaja memecah kebuntuan jaringan, tetapi dia gagal berbuat demikian ketika perlawanan berada di hujung aksi. – AGENSI