Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, sehubungan itu semua pemain Harimau Muda B dan Harimau Muda C akan dikembalikan semula ke negeri masing-masing.

“Memandangkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, maka kami akan tubuhkan skuad projek tersebut untuk persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu melibatkan pemain bawah 23 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam untuk sesi 2014-18 yang dipengerusikan oleh Tengku Abdullah di ibu negara yang berakhir hingga lewat malam semalam.

Mengenai jawatan jurulatih skuad Bawah 23 negara yang akan mengendalikan skuad Projek Sukan SEA 2017, Pengerusi Jawatankuasa Tugas Khas FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad memberitahu, panel pemilihan khas FAM bakal menemuduga tiga calon yang disenarai pendek pada 1 Disember ini.

“Ketiga-tiganya akan ditemuduga pada minggu hadapan sebelum Jawatankuasa Tugas Khas FAM mengumumkannya segera tanpa perlu menunggu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM berikutnya,” kata Mokhtar yang juga Timbalan Presiden FAM.

Dalam masa sama, Mokhtar berkata, keputusan mengenai pengendali baharu skuad Harimau Malaya dijangka diketahui selewat-lewatnya awal Januari 2016.