Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata, pasukan itu telah membuat persiapan rapi termasuk memikat beberapa pemain baharu untuk melengkapkan pasukan.

Katanya, untuk musim 2016, FAP telah memperuntukkan RM19 juta untuk perbelanjaan pasukan manakala sebanyak RM3 juta lagi akan digunakan skuad Piala Presiden dan program pembangunan bola sepak akar umbi.

Selepas lima tahun bersaing dalam Liga Perdana dan Liga FAM, tambah beliau, Pulau Pinang kini sudah bersedia membuka lembaran baharu dan mencipta lebih banyak kejayaan.

“Saya secara peribadi berharap kami mampu berada dalam kelompok enam teratas dalam Liga Super selain cuba menang satu piala,” katanya dalam majlis memperkenalkan pemain skuad negeri itu untuk musim depan di sini semalam.

Antara pemain yang berjaya dipancing termasuk bekas tonggak Kelantan, Mohd. Fitri Omar selain kepulangan semula penjaga gol Mohd. Firdaus Muhamad yang dipinjamkan kepada Kedah sebelum ini.

Selain itu, empat pemain Harimau Muda C yang merupakan anak jati negeri ini iaitu Wan Rohaimi Wan Rahasdi, Mohamed Syamer Kutty Abba, Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifly, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew Abdullah turut menyertai pasukan itu bersama dua pemain Harimau Muda A, Muhamad Faizat Ghazli dan S. Kumaahran.

Harimau Kumbang juga akan diperkuatkan oleh bekas penyerang Central Coast Mariners FC (Australia), Griffiths Brent Reece, Matias Cordoba (Argentina) dan Jose Tadeu (Brazil) selain mengekalkan pemain pertahanan dari Brazil, Reinaldo Rodrigues Lobo.

Nazir Ariff berkata, sehubungan itu, tiada alasan untuk skuad Haria Penang Haria gagal musim depan kerana pihak pengurusan telah memenuhi permintaan ketua jurulatih, Jackson Tiago yang mencadangkan beberapa pemain baharu.

“Dalam masa sama, kami akan mengadakan beberapa perlawanan pra musim dan saya mahu semuanya berjalan lancar.

“Pada musim depan juga, JDT akan kekal sebagai pasukan pilihan diikuti Selangor yang semakin kuat selain kami turut berhati-hati dengan pasukan jiran iaitu Kedah,” katanya.