Perkara tersebut diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menerusi laman Facebook rasminya di sini hari ini, yang mengesahkan bekas pemain pasukan PKNS FC musim lalu itu telah mengikat perjanjian dengan skuad Singa Utara.

Faris yang berusia 27 tahun itu akan mengisi kuota pemain import Asia.

Faris yang memiliki sebanyak 47 penampilan dengan skuad kebangsaan Singapura itu pernah bermain untuk pasukan Home United dalam saingan Liga Singapura dan menjaringkan 14 gol.

Beliau yang beraksi di posisi sayap itu merupakan pemain keempat dari Singapura yang disahkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim ini selepas Harris Harun, Johor Darul Ta’zim (JDT), Shakir Hamzah (Kedah) dan Safuwan Baharudin (Pahang).

Perlis yang sekian lama menyepi dalam arena bola sepak negara nampaknya begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan zaman kegemilangan Singa Utara yang pernah menjadi antara kuasa bola sepak negara.

Antara pemain bintang yang sudah mengesahkan untuk bersama Perlis bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim depan ialah Safee Sali; Badhri Radzi atau lebih dikenali sebagai Piya; Khyril Muhymeen; Azmi Muslim dan Amiridzwan Taj Tajudin.

Malah baru-baru ini, Perlis juga berjaya mengikat pemain skuad bawah 19 tahun negara, Zafuan Azeman bagi memperkuatkan jentera serangan Singa Utara. - UTUSAN ONLINE