Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, pihaknya telah menyerahkan segala dokumen berkaitan rayuan yang dikehendaki pihak MFL dan kini menyerahkan kepada ahli lembaga pengarah badan tersebut membuat keputusan akhir.

Dalam masa sama, Mohd. Abdul Karim Khan juga memaklumkan mengenai penaja yang sedia membantu mereka namun enggan mendedahkan jumlah tajaan buat skuad Singa Utara itu.

"Saya yakin dan percaya MFL akan beri penilaian terbaik untuk Singa Utara. Insya-Allah kalau diizinkan dengan apa kita buat, Perlis akan berupaya kembali ke Liga Perdana. Kita akan tunggu keputusan daripada MFL sebelum membuat pengumuman rasmi mengenai penaja.

"Kita turut berharap seluruh rakyat di negeri ini memberi sokongan dan mendoakan semuanya berjalan lancar. Insya-Allah ada sinar buat kita," katanya di sini, hari ini.

Utusan Online difahamkan, Perlis sudah mendapat penaja baharu dari sebuah syarikat iaitu Tulangis Group namun nilai jumlah tajaan tersebut tidak didedahkan.

Syarikat tersebut sebelum ini juga pernah bekerjasama dengan Hanelang dan Terengganu City, selain dikaitkan mahu menaja Kelantan United.

Sementara itu, Mohd. Abdul Karim Khan memaklumkan tujuan beliau membuat laporan polis malam tadi bagi menafikan dakwaan yang dibuat tujuh pemain Perlis musim 2018 yang mengaitkannya dengan penyelewengan wang para pemain.

"Kita serahkan kepada pihak berkuasa buat siasatan dan memberi kerjasama dengan segala bukti. Kita di dalam PFA sentiasa melakukan urusan dengan telus," katanya.

Dalam pada itu, para pemain Perlis Northern Lions II menyerahkan kes melibatkan Mohd. Abdul Karim Khan yang didakwa menyeleweng wang pemain pasukan itu kepada polis.

Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman, 30, yang mewakili rakan-rakannya berkata, pihaknya yakin polis akan menjalankan siasatan dengan adil tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. - UTUSAN ONLINE