Sejak mengambil alih kelab itu pada 2011, Simeone, 47, telah mengubah nasib Atletico daripada sebuah pasukan yang tidak digeruni lawan kepada skuad yang mampu menjadi pencabar di peringkat domestik mahupun Liga Juara-juara.

Bagaimanapun, tewas seba­nyak dua kali kepada seteru Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara, telah men­dorong Simeone menolak tawaran lumayan daripada kelab lain dalam usahanya untuk menjadikan Atletico sebagai juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab itu.

Simeone telahpun membantu Atletico merangkul lima trofi, yang mana pencapaian itu turut menyaksikan berakhirnya dominasi Real dan Barcelona dalam bola sepak Sepanyol dengan gelaran sulung La Liga dimena­ngi mereka dalam tempoh 18 tahun pada musim 2013/14.

Namun, trofi Liga Juara-juara masih belum mampu Los Rojiblancos tawan dengan Real meneruskan dominasi mereka selama empat musim sejak Simeone membawa Atletico kembali ke kancah bola sepak elit Eropah.

Atletico hampir sahaja me­rangkul gelaran tersebut dalam perlawanan akhir 2014, sebelum jaringan Sergio Ramos menerusi tandukan pada masa kecederaan telah memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan dan Real meraih kemenangan besar 4-1.

Dua tahun selepas itu, penentuan sepakan penalti diperlukan untuk menentukan pemenang antara dua pasukan di Milan dan sekali lagi mereka kecundang, malah Simeone menyifatkan ke­kalahan tersebut sebagai satu ‘kematian’. – AFP