Jaringan lewat permainan David Silva berjaya memastikan kemenangan menjadi milik City yang terpaksa bangkit daripada ketinggalan sekali gus bangkit daripada kekalahan mengejut 2-1 kepada Lyon, dua minggu lalu.

Silva meledak gol kemenangan ketika permainan berbaki tiga minit dan pengurus City, Guardiola gembira melihat semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya menghadapi Hoffenheim memandangkan lawannya menerapkan permainan bertahan.

City dikejutkan daripada tidur apabila Ishak Belfodil meledak gol pembukaan seawal saat ke-44 namun kedudukan itu tidak bertahan apabila Sergio Aguero menyamakan kedudukan pada minit kelapan sebelum Silva menjaringkan gol kemenangan.

“Tewas di laman sendiri (menentang Lyon) menyukarkan keadaan kami dan bolos awal (menentang Hoffenheim) juga sukar untuk diterima namun kami berjuang untuk segala-galanya pada hari ini.

“Kami suka untuk melihat situasi seperti ini, dua musim lalu bukan mudah untuk layak namun kami masih mampu melakukannya dengan satu atau dua baki perlawanan.

“Kejohanan ini bukan selalu menjadi karpet merah. Manchester City dalah kelab yang menakjubkan namun kami tidak ada sejarah tentang semangat juang,” kata Guardiola. - AFP