Tunku Ismail berkata, tindakan pasukan tersebut hanya menunjukkan sikap negatif yang boleh menjejaskan usaha badan induk bola sepak itu dalam me­ningkatkan kualiti Liga Malaysia ke arah lebih profesional.

“Ada yang ugut hendak tarik diri, saya nasihatkan kepada mereka sila tarik diri. Kalau semua benda nak percuma, sampai bila?

“Dulu satu sen pun tak dapat, boleh pula hidup... Nak kena denda RM500,000 disebabkan tidak ada dokumen lengkap, terus nak ugut tarik diri, silakan tarik diri dan jangan buang masa,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Hotel Pheonix, di sini hari ini. 

Baru-baru ini, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) yang dikenakan tindakan denda RM500,000 berhasrat untuk menarik diri kerana tidak mampu bayar kerana jumlah denda itu terlalu besar.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM itu tidak dihadiri Timbalan Presiden organisasi tersebut, iaitu Datuk Seri Subahan Kamal.

Tunku Ismail yang juga Pengerusi Football Malaysia Li­mited Liability Partnership (FMLLP) berkata, beliau tidak tahu kenapa Subahan gagal menghadirkan diri pada mesyuarat tersebut. 

“Saya tidak tahu apa sebab, mungkin Timbalan Presiden saya kecil hati pasal saya nak saman pasukan dia (Selangor) RM1.5 juta.

“Awak ada masa untuk membuat rayuan dan kita akan mempertimbangkan tapi denda tetap kena denda. Berapa jumlah yang akan dikenakan kita tidak tahu dan mungkin dapat dikurangkan, bergantung kepada rayuan yang dibuat,” katanya. 

Tunku Ismail ber­kata, untuk menjaga ke­pentingan sukan bola sepak negara, hak penajaan harus diberikan kepada kelab dan persatuan negeri yang layak dan bukannya kepada pasukan yang tidak boleh buat kerja serta mengambil sikap sambil lewa.

Beliau turut mengumumkan pemberian RM3 juta kepada setiap pasukan dalam Liga Super dan RM1 juta untuk pasukan Liga Perdana yang akan diadakan pada Rabu ini.