“Teruskan usaha, Mario... $$$, sila bawa saya ke mahkamah kerana saya tidak pernah merasa ke mahkamah dan saya ingin,” kata Tunku Ismail yang dipetik daripada laman Facebook Johor Southern Tigers (JST) hari ini.

Dalam satu status lain kemudian Tunku Ismail berkata tidak mungkin beliau gagal membayar gaji Gomez seperti yang didakwa oleh jurulatih yang membantu JDT muncul juara Piala AFC 2015 itu.

“Saya, Tunku Mahkota Johor, tidak perlu saya nyatakan berapa banyak wang yang saya ada. Masuk akal atau tidak 60,000 (ringgit) tidak mampu saya bayar?”

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menyangkal dakwaan itu malah berkata isu tunggakan gaji antara Gomez dengan JDT tidak sepatutnya timbul kerana berdasarkan perjanjian jurulatih dari Argentina itu dikehendaki membayar sendiri gaji pembantunya iaitu Raul Longhi.

“Mario Gomez telah membuat kenyataan bahawa JDT berhutang pembayaran gaji kepada beliau. Ini sememangnya tidak benar dan merupakan tindakan tidak sepatutnya daripada pihak Gomez. Faktanya ialah sebahagian daripada kontrak Gomez bersama JDT adalah beliau dikehendaki membayar gaji pembantunya Raul Longhi.

“Gomez pada mulanya membayar jumlah ini secara terus kepada Longhi dan kemudian beliau meminta setiausaha kelab kami untuk membuat pembayaran terus kepada Longhi. Sejak 2015 JDT telah membayar komponen gaji ini secara terus kepada Longhi daripada gaji Gomez mengikut permintaan khususnya selaras dengan kewajipan dalam kontrak Gomez.

“Gomez juga telah membuat kenyataan palsu bahawa kami tidak menjawab suratnya, kami menerima surat itu dalam bahasa Sepanyol dan telah menjawab dengan sewajarnya. Jangan cuba untuk menipu kerana ini akan menjejaskan karier anda di Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu Edwards turut menasihati Gomez supaya mendapatkan nasihat undang-undang sebelum membuat sebarang kenyataan di media.

“Kita ada saluran perundangan yang betul di mahkamah dan bukannya cuba mencipta polemik kosong dengan memulakan perbicaraan melalui media. Barisan peguam kami telah bersiap-siaga dengan segala fakta dan asas yang kukuh kerana kami yakin bahawa tindakan diambil sebelum ini adalah bertepatan dan selari dengan ‘rules of law’,” katanya lagi.

Gomez, yang pernah membimbing JDT selama tiga musim bermula 2015, berkata dalam sebuah akhbar Inggeris bahawa dia akan membawa kes tunggakan gajinya ketika berkhidmat bersama JDT kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).