Mat Sport
Mat Sport

Khabarnya satu atau dua unit dan jabatan dalam FAM akan dimansuhkan sekali gus bererti ada beberapa lagi kakitangan yang terpaksa mengikut jejak awal rakan-rakan mereka itu.

Tempo pantas yang telah diingatkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) kepada pegawai-pegawai kanan baharu FAM selepas pemilihan Kongres Ke-53, 25 Mac lalu telah direalisasikannya walaupun Mat Sport fikir macam terburu-buru dan tidak menepati amalan prosedur biasa.

Pengumuman Mario Gomez sebagai ketua jurulatih skuad negara dan peralihan tugas menerajui skuad bawah 22 tahun kepada Datuk Ong Kim Swee dibuat terlalu mendadak sedangkan Presiden FAM baru disahkan.

Bagaimana TMJ boleh bertindak sedrastik itu sedangkan ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) juga baru sahaja dipilih dan jawatankuasa lain pun terutama yang berkaitan pengurusan pasukan negara yang baharu belum dibentuk?

Mesyuarat Exco FAM sulung sejak Kongres pun hanya akan berlangsung hujung minggu ini di Kota Kinabalu.

Jadi keputusan pelantikan Gomez dan Kim Swee sekali gus penyingkiran Frank Bernhardt dibuat tanpa merujuk kepada Exco terlebih dahulu?

Dua hari lepas, dua lagi tindakan drastik dilakukan; penyingkiran ramai kakitangan pentadbiran dan teknikal FAM dan penukaran semula gelaran skuad kebangsaan, Harimau Malaysia kepada Harimau Malaya.

Mat Sport mahu melahirkan rasa simpati kepada mereka yang dipecat ini walaupun pampasan gaji tiga bulan turut dijanjikan kepada mereka.

Bukankah wajar kalau satu pertemuan hati ke hati antara pucuk pimpinan baharu FAM ini dengan mereka yang dipecat itu diadakan terlebih dahulu, kumpulkan maklum balas atau analisis prestasi kerja mereka dan berikan satu tempoh dalam tiga atau lima bulan untuk mereka membuat persediaan mencari kerja lain jika didapati perlu juga dipecat.

Dalam zaman sekarang dengan serba-serbi barang naik harga dan keadaan ekonomi yang kita selalu digalak mengikat perut ini, ke manakah hala tuju dan nasib mereka yang dibuang kerja?

Mat Sport juga tertanya-tanya kalau-kalau ada ahli Exco FAM yang boleh bertahan lama. Jangan pula ada yang mahu meletak jawatan atau terpaksa disingkirkan gara-gara tempo yang mungkin terlalu asing bagi mereka terutama yang sudah berusia dan lebih berpengalaman dalam bola sepak.