Skuad kendalian Mladen Krstajic terlebih dahulu berada di depan menerusi tandukan Aleksandar Mitrovic seawal minit kelima selepas menerima hantaran lintang daripada Dusan Tadic.

Perlawanan tersebut berlangsung dengan seimbang di mana kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan masing-masing. Switzerland memperoleh gol penyamaan pada minit ke-52 menerusi rembatan Granit Xhaka daripada luar kotak penalti.

Ketika perlawanan seakan-akan berkesudahan seri, pemain Stoke City, Shaqiri memastikan tiga mata berharga menjadi milik Switzerland pada minit terakhir permainan.

Hanya tiga pasukan daripada Kumpulan E masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat kalah mati selepas Costa Rica disahkan tersingkir awal apabila tewas 0-2 kepada Brazil dalam satu lagi aksi kumpulan.

Selepas ini, Serbia akan menentang Brazil manakala Switzerland bertemu Costa Rica dan kedua-dua perlawanan tersebut akan berlangsung pada 28 Jun ini. - AGENSI