Penyerang Switzerland itu menandatangani kontrak lima tahun bersama Reds semalam dengan yuran perpindahan 13 juta pound (RM70 juta) dari Stoke City.

Shaqiri, 26, merupakan penyaring terbanyak Stoke musim lalu dengan lapan gol, namun pasukannya tersingkir ke Liga Kejuaraan musim depan.

Dia menyertai Stoke dari Inter Milan pada Ogos 2015 dengan rekod perpindahan kelab 12 juta pound (RM64.32 juta).

Shaqiri juga cemerlang membantu Switzerland melangkah ke pusingan 16 akhir Piala Dunia 2018, sebelum tewas kepada Sweden.

“Sebagai pemain anda sentiasa mahu beraksi di peringkat tertinggi dalam bola sepak.

“Beberapa tahun lalu, saya mahu datang ke sini tetapi perkara itu tidak berlaku. Saya gembira kerana akhirnya saya tiba juga di sini. Saya mahu perbaiki diri, mahu beraksi dengan pemain terbaik dan memenangi gelaran.

“Kelab ini penuh dengan sejarah, ramai pemain bintang dan jurulatih yang hebat. Jadi, saya benar-benar gembira dapat berada di sini,” kata Shaqiri.

Shaqiri merangkul Liga Juara-Juara bersama Bayern Munich pada 2013, dan Klopp mengakui, dia sudah mengikuti perkembangan pemain itu sejak mereka berada di Jerman.

“Saya sentiasa mengikuti permainannya ketika bersama Switzerland dan dalam liga Jerman. Sudah lama saya meminatinya, tetapi kali ini kami mendapat bonus kerana dia juga sudah biasa dengan Liga Perdana.

“Dia mempunyai kepantasan dan kepakaran, berani merebut bola serta mampu mempengaruhi permainan dalam beberapa situasi.

“Dia adalah pemain yang mampu membawa perbezaan kepada pasukan. Kalau dia cergas 100 peratus, dia boleh bermain dalam banyak posisi mengikut sistem kami,” kata Klopp. - AGENSI